Pengenalan
Menurut
John Dewey (1916), pembelajaran kontekstual merupakan satu keadaan di
mana pelajar akan belajar dengan baik jika apa yang dipelajari berkaitan
dengan apa yang berlaku di persekitaran. Pembelajaran ini menekankan
pada daya fikir yang tinggi, pemindahan ilmu pengetahuan, pengumpulan
dan penganalisis data, pemecahkan masalah-masalah tertentu samada secara
individu atau berkumpulan. Kontekstual dari ayat asalnya dalam Bahasa
Inggeris (asal bahasa Latin con = with + textum = woven) bermaksud
mengikut konteks atau dalam konteks. Konteks pula membawa maksud
keadaan, situasi dan kejadian.
Pembelajaran konteksual
merupakan satu model dinamik dan terbuka. Strategi ini dapat memastikan
pelajar disediakan peluang untuk menjadikan pembelajaran bermakna
melalui pengalaman dan informasi, dan menggunakan pengalaman serta
informasi demi membina pengetahuan sendiri. Kaedah kontekstual adalah
berasaskan maksud kontekstual itu sendiri, di mana ia mampu membawa
pelajar ke matlamat pembelajaran isi dan konsep yang berkenaan.
Ringkasnya, pembelajaran kontekstualisme ialah satu kaedah pembelajaran
yang menggabungkan isi kandungan dengan pengalaman harian, individu,
masyarakat dan alam pekerjaan. Pembelajaran jenis ini menyediakan
pembelajaran secara konkrit yang melibatkan aktiviti ‘hands-on’ dan
‘minds-on’.
Kepentingan Pembelajaran Kontekstual Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Pendekatan
pengajaran ini mempunyai banyak kepentingan dan faedahnya. Ini
termasuklah faedah kepada murid dan faedah kepada guru sendiri.
Pendekatan kontekstual adalah satu proses yang melibatkan pelbagai
bentuk penemuan yang bersifat kompleks yang menjangkau kaedah-kaedah
jenis latih tubi dan rangsangan dan tindak balas. Konsep pengajaran ini
lebih menumpukan kepada pembelajaran yang bercirikan penemuan dan
pencarian. Ia akan mendorong murid-murid mencari hubungan dan cara
penyelesaian berdasarkan persekitarannya.
Pendekatan kontekstual juga
merupakan pendekatan yang menekankan dunia kehidupan sebenar
murid-murid. Ini bermakna, pembelajaran adalah berkisar kepada konteks
kehidupan sebenar dan cara ini sudah tentu akan lebih mudah memberi
kefahaman kepada murid-murid tentang konsep-konsep berkaitan. Selain
itu, pembelajaran ini juga boleh dilaksanakan secara koperatif dan
melibatkan penggunaan bahasa. Pembelajaran sebagai aktiviti sosial ini
amat menggalakkan interaksi dan perbincangan sesama murid atau antara
murid dan guru. Dengan cara ini proses pembelajaran murid akan berlaku
dengan lebih mudah. Ini sudah tentu dapat memastikan objektif pelajaran
yang telah ditetapkan dalam perancangan pelajaran ini dapat dicapai
dalam sesi praktik yang akan dilaksanakan nanti.
Bagi guru pula, pendekatan
pengajaran ini sudah tentu menggalakkan mereka memilih dan membina
persekitaran pembelajaran yang menggabungkan pengalaman-pengalaman yang
mereka lalui seberapa banyak yang boleh. Pengalaman-pengalaman yang
dilalui termasuklah dari aspek sosial, fizikal, psikologikal, ke arah
mencapai hasil pembelajaran yang diinginkan. Berdasarkan persekitaran
sedemikian, pelajar menemui perhubungan yang bermakna antara idea
abstrak dan aplikasi praktikal dalam konteks alam yang nyata.
Penghayatan konsep diperoleh melalui proses penemuan, pengukuhan dan
menghubungkaitkan.
Proses “REACT” Dalam Pembelajaran Secara Kontekstual
Terdapat
satu kaedah pengajaran yang sangat sesuai diaplikasikan dalam
pengajaran kontekstual. Kaedah pengajaran itu melibatkan lima
proses/aktiviti, iaitu menghubungkait, mengalami, mengaplikasi,
bekerjasama, dan memindahkan. Kelima-lima aktiviti ini diringkaskan
sebagai “REACT”.
a) Menghubungkait (Relating):
Aktiviti
ini melibatkan proses di mana pelajar menghubungkaitkan pengetahuan
baru dengan pengalaman hidup mereka sendiri. Dalam pembelajaran
kontekstual, pelajar akan dapat menumpukan perhatian kepada taakulan,
peristiwa dan keadaan harian. Kemudiannya, taakulan, peristiwa dan
keadaan harian itu dipautkan dengan maklumat baru untuk penyelesaian
sesuatu masalah. Contoh semasa di sekolah, pelajar belajar tentang
cara-cara menjaga kebersihan. Semasa pembelajaran tersebut, pelajar
mungkin dapat mengaitkan pengalaman mereka semasa di rumah, di mana
pelajar sering diberitahu oleh ibu bapa supaya membasuh tangan sebelum
makan. Menerusi pengalaman ini pelajar akan dapat mengaitkan aktiviti
yang dilakukan oleh mereka di rumah dengan aktiviti pembelajaran yang
sedang berlangsung.
b) Mengalami (Experiencing):
Semasa
pembelajaran, pelajar akan sedaya upaya menimba pengalaman melalui
aktviiti eksplorasi, penemuan dan reka cipta merupakan nadi pembelajaran
konteksual. Penggunaan bahan pengajaran dan pembelajaran seperti video,
naratif, atau aktiviti berasaskan teks, akan dapat membantu pelajar
mengalami sesuatu perkara atau peristiwa yang dipelajari. Contohnya
pelajar dibawa ke bilik tayangan untuk menyaksikan demonstrasi serta
membuat latihan amali merawat kecederaan semasa bermain. Pengalaman ini
boleh digunakan semasa mereka berhadapan dengan situasi sebenar di luar
bilik darjah.
c) Mengaplikasi (Applying):
Ia
melibatkan proses mengaplikasi konsep dan informasi dalam konteks untuk
digunakan dalam situasi yang lain. Dalam pembelajaran Pendidikan
Kesihatan misalnya, proses aplikasi ini boleh dilakukan dengan memberi
peluang kepada pelajar mengalami sendiri situasi atau perkara sebenar
berdasarkan konteks yang dipelajari. Contohnya, guru mungkin boleh
membawa pelajar melawat kantin sekolah dan melihat sendiri cara
mengendalikan makanan dengan betul. Setelah itu, mereka akan diberikan
peluang melakukan latihan praktikal di bilik kemahiran hidup sekolah.
Pengalaman ini sudah tentu akan dapat diaplikasikan pula semasa mereka
berada di rumah kelak.
d) Bekerjasama (Cooperating):
Pembelajaran
dalam konteks berkongsi, bertindak balas, dan komunikasi dengan pelajar
lain. Ia merupakan satu proses penting dalam pengajaran dan
pembelajaran konteksual. Semasa proses pengajaran dan pembelajaran,
pelajar digalakkan bekerjasama dalam pelbagai peringkat kumpulan untuk
memberikan pengalaman kepada mereka. Contohnya pelajar bekerja dengan
ahli kumpulan untuk melakukan amali makmal. Penyelesaian amali makmal
memerlukan delegasi, pemerhatian, cadangan dan perbincangan.
e) Memindahkan (Transferring):
Pembelajaran
sesuatu isi dalam konteks pengetahuan yang sedia ada, atau
memindahkannya adalah berlandaskan apa yang telah diketahui pelajar.
Pendekatan ini menyerupai RELATING iaitu ia berasaskan perkara-perkara
yang lazim dan diketahui. Guru boleh membantu meningkatkan keyakinan
pelajar dengan menyediakan panduan yang dapat menghubungkan pengalaman
pembelajaran baru dengan apa yang telah diketahui pelajar. Contoh
pelajar mempelajari cara untuk memilih menu sarapan yang sesuai. Pelajar
boleh memindahkan pengetahuan mereka itu dalam memilih dan menetapkan
menu sarapan mereka setiap hari semasa berada di rumah.
Penutup
Pembelajaran
secara kontekstual atau melalui pengalaman sebenar merupakan antara
kaedah yang paling berkesan untuk memahami sesuatu konsep. Ini kerana
murid pada umumnya telah mempunyai serta membentuk idea mereka sendiri
mengenai suatu perkara atau fenomena yang berlaku di sekeliling mereka
berdasarkan pengalaman yang pernah dialami. Idea mereka mungkin betul,
mungkin tidak tetapi isu yang penting di sini ialah seseorang guru harus
mampu menggunakan kekuatan yang ada pada murid untuk membantu mereka
belajar dengan lebih berkesan. Jadi dalam soalan pengajaran Pendidikan
Kesihatan, murid harus diberi peluang belajar memahami sesuatu perkara
melalui pengalaman sendiri. Setelah mengalami sesuatu perkara itu,
mereka akan dapat membuat rumusan apakah tindakan ke arah kebaikan yang
patut mereka ambil.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar